Powered by Blogger.

Tiada Tempat Latihan IS Di Malaysia

NEW YORK: Oleh kerana Malaysia menangkap lebih ramai suspek yang dikaitkan dengan kumpulan Negara-negara Islam (IS), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membincangkan langkah susulan terhadap kumpulan tersebut dengan pakar memerangi keganasan Amerika Syarikat (AS) di sini.

Tiada Latihan IS di Malaysia

Ahmad Zahid yang bertemu dengan pakar pasukan khas atau dikenali FBI Joint Terrorism Task Force di sini untuk menangkis dakwaan bahawa Malaysia mempunyai tempat latihan untuk pejuang jihad IS di kalangan warga Malaysia dan tempat transit yang digunakan pengganas asing untuk menjalankan misi jihad mereka.

"Kami sentiasa bertukar maklumat dan bekerjasama dengan FBI untuk tempoh beberapa tahun lamanya. Masalahnya ialah apabila beberapa pengganas mendakwa diri mereka rakyat Malaysia dan merekrut rakyat Malaysia melalui oraganisasi tertentu bagi memperjuangkan nasib rakyat di Syria dan Iraq.

"Kebenarannya adalah tiada tempat latihan di Malaysia. Sebaliknya, ia dilakukan oleh kumpulan kecil atau individu," katanya kepada pemberita Malaysia di sini, Ahad.

Ahmad Zahid mengakui bahawa ancaman dari negara jiran adalah nyata terutamanya mereka yang bersekongkol dengan satu kesultanan (yang tidak wujud lagi) untuk membentuk pemerintahan tersendiri di Sabah dan Sarawak.

Mengenai program pengecualian visa AS, beliau berkata Malaysia melihat beberapa keperluan yang disenaraikan untuk dimasukkan ke dalam program tersebut termasuk mengkaji semula prosedur pemeriksaan keselamatan sempadan. - Mstar Online

Usaha kekal sokongan pengundi Melayu dipertingkat

BAGAN SERAI - Perjuangan Umno untuk mengekalkan sokongan kalangan pengundi Melayu perlu dipertingkatkan bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 akan datang, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Hasan Malek.
 
Beliau berkata, bagaimanapun parti tidak akan meminggirkan kaum lain, namun agenda memperjuangkan nasib orang Melayu menjadi matlamat utama.

Pilihanraya Umum ke 14
 
"Usah bimbang kita dituduh sebagai 'parti rasis' kerana sejarah politik negara sudah membuktikan bahawa apabila Umno kukuh semua kaum mendapat nikmatnya.
 
"Sebab itulah kita (BN) sedia berkongsi kuasa dengan kaum-kaum lain melalui MCA, MIC dan parti-parti komponen lain. Kerjasama ini akan diteruskan dan diperkukuhkan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Bagan Serai 2014 di sini, hari ini.
 
Hasan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan turut menasihatkan anggota dan pemimpin Umno dan BN untuk mengekalkan perpaduan.

"Situasi politik sekarang sama sekali tidak mengizinkan wujudnya sebarang perbalahan atau krisis politik sesama kita. Jika perbalahan berlaku, ia akan menguntungkan pakatan pembangkang yang ketika ini hanya menanti peluang dan ruang untuk menumbangkan kerajaan BN," katanya.
 
Hasan berkata, BN juga perlu mengukuhkan perpaduan dan meningkatkan gerak kerja parti agar mendapat keyakinan rakyat untuk terus menyokong kerana tanpa perpaduan sudah pasti ia akan membawa petaka kepada Umno.
 
"Kita harus faham bahawa PRU14 akan lebih mencabar kerana pakatan pembangkang sedang, telah dan akan mempolitikkan apa juga isu bagi meraih sokongan rakyat.
 
"Saya percaya jika kita semua bersatu sudah pasti pembangkang bukan sahaja tidak akan mampu menumbangkan BN di Perak malah BN akan mencatatkan kejayaan lebih cemerlang, InsyaAllah," katanya.
 
Pada mesyuarat itu, Umno Bahagian Bagan Serai mengusulkan kepada kerajaan BN mempertimbangkan semula pelaksanaan 'Sekolah Satu Aliran' demi mencapai 'Perpaduan Nasional' sebenar.  - Bernama

Datuk Khalid Sedang Disiasat

SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau sedia disiasat mana-mana pihak seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung segala penjanjian yang ditandatangani ketika memegang jawatan itu.
 
Beliau berkata, ini termasuk perjanjian berkaitan penstrukturan semula industri air Selangor dan pembangunan di Canal City.

Datuk Khalid Ibrahim
 
"Saya mengalu-alukan semua pihak termasuk SPRM untuk menyemak dan menyiasat semua perjanjian yang ditandatangani semasa saya menjadi Dato' Menteri Besar Selangor," katanya dalam catatan di laman Facebook beliau hari ini.
 
Menurut Abdul Khalid, peguamnya akan mengeluarkan kenyataan penuh berhubung hal itu dalam masa terdekat.
 
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor yang baharu Mohamed Azmin Ali berkata beliau akan mengkaji semula perjanjian-perjanjian kerajaan negeri yang diluluskan ketika pentadbiran Abdul Khalid termasuk berkaitan konsesi air, Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) dan pemberian kenaikan elaun menteri besar.  - Bernama

Azmin Ali Menteri Besar Selangor

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa , Mohamed Azmin Ali, sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu, berkuatkuasa esok.

Perkara itu terkandung dalam surat pemberitahuan pelantikan daripada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, kepada Timbalan Presiden PKR itu hari ini.

Salinan surat berkenaan diedarkan kepada media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya sebentar tadi.

Azmin Ali

Mohamed Azmin diminta hadir ke Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 10.30 pagi esok.

Mohamed Azmin akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Sementara itu, Mohamad Munir, ketika dihubungi BERNAMA, mengesahkan beliau sudah menyerahkan surat pelantikan itu kepada Mohamed Azmin.

"Pihak Istana Selangor akan keluarkan kenyataan akhbar esok bagi memberi penjelasan mengapa Mohamed Azmin dipilih sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu," katanya.

Biodata Mohamed Azmin Ali

- Dilahirkan pada 25 Ogos 1964 di Singapura.

- Lulusan Ijazah Sarjana Sains Ekonomi dan Matematik dari Universiti Minnesota, Amerika Syarikat.

- Mendirikan rumah tangga dengan Shamsidar Taharin ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Pendidikan di institut sama.

- Dikurniakan enam cahaya mata, tiga lelaki dan tiga perempuan. 

- Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1987.

- Naib Presiden PKR dari November 2001 hingga November 2010

- Timbalan Presiden PKR dari November 2010 hingga kini.

- ADUN Bukit Antarabangsa (Sejak 2008 ).

- Ahli Parlimen Gombak (Sejak 2008).

Sumber - BH Online